Wednesday 27 April 2016

ANGKUP VERNIER (VERNIER CALIPER)

Angkup vernier merupakan alat pengukur jitu dan boleh mengukur dengan tepat sehingga kepada ukuran samada 0.05 mm atau 0.02 mm. Alat ini biasanya digunakan di dalam bengkel mesin. Angkup vernier mempunyai dua skala iaitu skala utama dan skala vernier.

Bahagian-bahagian angkup vernier

Badan
Badannya berbentuk seperti sebilah pembaris keluli yang mempunyai senggatan dalam unit metrik atau inci. Senggatan ini dinamakan skala utama. Panjang badan ini menunjukkan saiz angkup vernier.

Plat Vernier
Plat vernier mempunyai skala vernier dan boleh digerakkan di sepanjang badan.

Rahang
Rahang terdiri daripada rahang tetap dan rahang gelangsar. Rahang tetap merupakan sebahagian daripada badan yang bengkok, manakala rahang gelangsar merupakan sebahagian daripada plat vernier  yang boleh bergerak bersama-samanya iaitu selari dengan rahang tetap. Permukaan diantara kedua-dua rahang ini merupakan muka ukuran bagi angkup vernier. Apabila muka ukuran ini bersentuh, bacaannya adalah sifar dan angka sifar pada skala vernier sejajar dengan angka sifar pada skala utama.

Rusuk
Rusuk berbentuk runcing. Ia terletak di sebelah atas. Binaannya hampir sama dengan rahang tetapi ia digunakan untuk mengukur di sebelah dalam.

Nat Pengunci
Nat pengunci digunakan untuk mengunci plat vernier supaya kedudukan ukuran tidak berganjak semasa angkup vernier dikeluarkan dari benda kerja. Ini dapat mengurangkan kesilapan semasa mengukur.

Bilah Pengukur Dalam
Ia merupakan satu bilah yang kecil, boleh digerakkan keluar atau masuk dalam lurah dibahagian belakang badan apabila rahang dibuka.

(Teknologi Bengkel Mesin,  Ibrahim Che Muda & RamudaranN. (2000))

No comments:

Post a Comment